Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat atau dulunya dikenali dengan nama Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Kanchong Darat merupakan sebuah projek yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS). Projek yang dikategorikan sebagai Fasa 2 ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Telekom Malaysia ™ dan MSD Digital Intelligence Sdn Bhd.
Pemilihan lokasi bagi projek ini telah dilakukan sekitar tahun 2009. Hasil perbincangan dengan pemimpin tempatan, Dewan Orang Ramai Simpang Bengkok dipilih sebagai lokasi bagi penubuhan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Kanchong Darat. Kerja-kerja pengubahsuaian dewan giat dijalankan dan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2009. Selepas menjalani sesi penilaian oleh pihak SKMM dan TM, Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Kanchong Darat beroperasi secara rasmi pada bulan Mac 2010. Dua orang petugas yang terdiri daripada pengurus dan penolong pengurus dilantik bagi menguruskan operasi harian di Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Kanchong Darat.
Pada tahun 2013, nama projek Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) telah ditukar kepada Pusat Internet 1Malaysia. Seiring dengan transformasi tersebut, Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat telah melalui proses pengubahsuaian dan naiktaraf. Sejak mula beroperasi, PJK Kanchong Darat kerap dikunjungi delegasi dari dalam dan luar negara yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan projek hasil inisiatif pihak kerajaan Persekutuan ini.
Pada penghujung tahun 2014, kontrak bagi projek Pusat Internet 1Malaysia Fasa 2 telah tamat. Melalui perjanjian baharu antara pihak pengurusan dan pemimpin tempatan, projek Pusat Internet 1 Malaysia di Kanchong Darat telah dilanjutkan selama 3 tahun dan dikategorikan sebagai Fasa 2 Extension. Pembaharuan perjanjian ini telah menyebabkan Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat sekali lagi melalui proses pengubahsuaian dan naiktaraf, di mana kesemua peralatan dan kelengkapan serta reka bentuk dan susur atur telah ditukar dengan yang baru dan lebih canggih. Usai sesi U.A.T bersama pihak SKMM, Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat bagi Fasa 2 Extension kembali beroperasi secara rasmi pada 5 Ogos 2015.